Friday, February 28, 2020

BBM3410Satu2020: MODEL PENCERITAAN 'KELUARGA' : BUKU KAJIAN MULTIMEDIA

Model Penceritaan Nilai Sosial :
Keluarga.

Saya berasa puas hati
Menolong ibu bapa setiap hari
Bermula di pagi hari
Sehingga malam nanti

Ibu bapa yang disayangi
Saya tetap berhati-hati
Menjaga budi pekerti
Keluarga saya yang dicintai

Saya sayang ibu dan bapa
Abang, kakak, adik dan saudara
Mereka semua ada bersama
Semasa saya memerlukan mereka



Cerita : Keluarga

Aku gembira mempunyai ibu dan bapa yang sentiasa mendorong aku untuk menjadi lebih baik. Aku gembira dapat menjadi seorang anak yang boleh membalas jasa yang mampu membahagiakan mereka berdua. Siang dan malam, mereka bekerja keras untuk kami sekeluarga. Ibu bapa yang aku cintai, aku sentiasa ada di sini, mencuba untuk menjadi yang terbaik, mencuba dengan gigih supaya jasamu dapat aku balas., masih mencuba untuk mengubah kehidupan kita sekeluarga. Di saat aku susah, keluarga yang sentiasa ada. Di saat aku senang, aku janji tidak akan aku lupakan mereka. Ibu, ayah, adik-adik ku semua, aku berjanji akan aku berikan kebahagiaan itu buat kamu semua. Cuma tunggu aku, yang masih berusaha dan berjuang untuk membahagiakan kamu.

Ibu, seorang yang tidak pernah putus asa untuk membahagiakan kami. Seorang yang tidak pernah mengalah untuk mencari rezeki untuk memastikan kami sentiasa hidup selesa. Seorang yang penuh dengan rasa cinta, kasih dan sayang terhadap anak-anaknya. Ayah, seorang yang sentiasa bekerja keras siang dan malam untuk memastikan kami cukup makan. Pengorbanan ayah, sentiasa aku ingat. Sentiasa aku hargai. Kasihnya tiada penghujung. Pengorbanannya tidak terkira. Buat keluarga yang aku sayangi, terima kasih kerana sentiasa ada. Kalian insan yang paling aku cintai, yang paling aku sayangi. Terima kasih atas segala pengorbanan.

Tuhan ku,
Aku memohon pada-Mu,
Lindungilah lah keluargaku,
Agar mereka terhindar dari kesulitan,
Agar mereka dijauhkan dari penderitaan,
Agar mereka sentiasa di bawah lindungan-MU.




RUJUKAN : 
Normaliza Abd Rahim (2019). Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi : Teori dan Aplikasi. Universiti Malaysia Terengganu, Terengganu.

Monday, February 24, 2020

BBM3410Satu2020: Ulasan Tugasan Asas Grafik

Tugasan kumpulan bagi topik Asas Grafik telah diberi penilaian oleh Professor Dr Normaliza. Lenggang Kangkung Production mendapat 3 bintang secara keseluruhannya. Berikut merupakan hasil tugasan kumpulan kami berserta ulasan :


Muka hadapan tugasan 1

Asas Grafik : Mudah

Gambar tersebut menunjukkan asas grafik mudah. Gambar itu mudah difahami dan tidak menimbulkan kekeliruan.

Asas Grafik : Warna

Gambar tersebut menunjukkan asas grafik warna. Gambar itu mempunyai kombinasi warna yang menarik dan sesuai. 


Asas Grafik : Teks

Gambar tersebut menunjukkan asas grafik teks. Teks itu menggunakan jenis dan saiz font yang sesuai dalam persembahan grafiknya. Kandungan yang ditulis dalam teks tersebut disampaikan dengan baik dan sesuai dengan grafik yang dipaparkan.


Asas Grafik : Kesesuaian

Gambar tersebut menunjukkan asas grafik kesesuaian. Kesesuaian unsur yang digunakan dalam gambar tersebut menepati tajuk bagi artikel tersebut. Misalnya, tajuk artikelnya sesuai dengan latar tempat, latar masa dan latar watak yang digunakan.

Asas Grafik : Keseimbangan

Gambar tersebut menunjukkan asas grafik keseimbangan. Keseimbangan dalam grafik tersebut dapat dilihat melalui ruang kiri, kanan, atas dan bawah gambar dan grafiknya disampaikan dengan baik.

Ahli kumpulan Lenggang Kangkung Production bersama hasil tugasan 1 iaitu Asas Grafik.

BBM3410Satu2020: Blanket Test 2.0

BLANKET TEST 2.0

Lenggang Kangkung Production berjaya menjawab 3 soalan yang dikemukakan dalam Blanket Test pada waktu kuliah tadi. Soalan yang dikemukakan adalah berdasarkan catatan dalam buku Multimedia Dalam Bahasa bagi topik Asas Fotografi. Berikut merupakan soalan berserta jawapan yang berjaya dijawab oleh kumpulan kami:

1. Apakah itu keseimbangan dalam asas fotografi?
Keseimbangan bermaksud ruang dalam foto atau video yang seimbang. Ruang yang dimaksudkan tersebut adalah ruang atas, ruang bawah, ruang kiri dan ruang kanan.

2. Apakah asas fotografi berdasarkan gambar yang dipaparkan di skrin?
Gambar tersebut adalah gambar Long Shot kerana gambar pemandangan tepi pantai tersebut menunjukkan keseluruhan gambar yang diambil dari jarak jauh.

3. Apakah asas fotografi berdasarkan gambar yang dipaparkan di skrin?
Gambar tersebut merupakan gambar Close-up kerana gambar tersebut hanya berfokus kepada mata dan hidung subjek yang diambil dari jarak dekat.

BBM3410Satu2020: Asas Fotografi


LENGGANG KANGKUNG PRODUCTION
ASAS FOTOGRAFI



1. MUG SHOT - Setiap ahli kumpulan dikehendaki untuk menghasilkan gambar berbentuk mug shot yang menunjukkan 2 emosi berbeza. Mug shot merupakan gambar yang diambil dalam jarak dekat dan hanya memfokuskan kepada bahagian muka. Tujuannya adalah untuk mempamerkan raut wajah dengan lebih terperinci dan wajah itu mudah dikenali orang ramai. Berikut merupakan hasil gambar mug shot yang telah diselesaikan oleh ahli kumpulan Lenggang Kangkung Production:

Mug shot : Thalhah

Mug shot : Nieja

Mug shot : Sue

Mug shot : Ijat

Mug shot : Dila

Mug shot : Azmil

Mug shot : Shah 
Mug shot : Nina


Mug shot : Sabrina

Mug shot : Wais


2. CLOSE-UP -  Gambar berbentuk close-up diambil dalam jarak yang dekat dan memfokuskan kepada 1 objek sahaja. Dalam tugasan ini, ahli kumpulan diminta untuk mengambil 2 gambar close-up iaitu gambar sesuatu benda dan gambar anggota badan. Kumpulan kami telah memilih gambar bunga sebagai close-up yang pertama dan anggota badan mata dan hidung sebagai gambar close-up yang kedua.
Close up : Gambar bunga

Close up : Anggota badan (mata dan hidung)
Model : Sue

3. LONG SHOT - Long shot merupakan gambar yang diambil dalam jarak yang jauh dari kamera dan gambar tersebut jelas kelhatan dengan gambaran keseluruhan. Biasanya, gambar long shot digunakan untuk situasi yang memerlukan pemahaman terhadap seluruh paparan. Dalam tugasan ini, kami dikehendaki untuk mengambil 2 gambar long shot iaitu gambar pemandangan bersama manusia dan gambar pemandangan sahaja. 

Long shot : Pemandangan dan manusia
Long shot : Pemandangan


4. MEDIUM SHOT - Medium shot diambil daripada jarak yang hampir dengan kamera di mana wajah seseorang itu lebih menyerlah berbanding long shot. Dalam medium shot juga menunjukkan latar belakang dalam gambar tersebut boleh kelihatan. Bagi tugasan ini, kami dikehendaki untuk mengambil 2 gambar medium shot yang memaparkan manusia dan pemandangan yang berbeza.


Medium shot : Manusia dan pemandangan

Medium shot : Manusia dan pemandangan


5. PORTRAIT - Portrait merupakan gambar yang berfokur dalam jarak yang dekat. Bagi asas fotografi ini, kami dikehendaki untuk mengambil 2 gambar portrait di mana gambar pertama adalah gambar portrait seluruh badan sama ada berdiri atau duduk dan gambar portrait yang fokus kepada wajah dan sebahagian wajah sahaja.

Portrait : Seluruh badan

Portrait : Bahagian muka dan sebahagian badan.


Begitulah tadi hasil daripada tugasan yang diberi berdasarkan topik asas fotografi. Kumpulan kami dapat menyelesaikan tugasan yang diberikan dengan menghasilkan gambar-gambar yang sesuai.





Friday, February 21, 2020

CERITA SOSIAL 2 - BUKU WACANA PROF DR NORMALIZA ABD RAHIM


Ringkasan Cerita Sosial 2.



Cerita Sosial 2 : Saya Yang Istimewa


Hari ahad yang lalu, bapa Alim membawa banyak buah-buahan seperti buah manggis, langsat, duku dan banyak lagi yang dibeli dari pasar tani. Madinah melompat-lompat gembira kerana banyak buah-buahan yang dibawa oleh bapa. Ibu mengarahkan mereka supaya meletakkan semua sampah ke dalam bakul sampah supaya rumah tidak kotor dan tidak bersepah. Alim bertanya kepada ibu untuk memberi buah-buahan tersebut kepada Sulaiman. Ibu bapa Alim sentiasa mengingatkan kepada Alim untuk berbuat baik kepada orang dan Alim praktikkan ajaran ibu bapanya. Selepas selesai makan buah-buahan tersebut, Alim membantu keluarganya mengemas rumah. Pada waktu itu, Alim terserempak dengan Ibu Sulaiman di luar rumah sewaktu Alim hendak membuang sampah. Ibu Sulaiman iaitu Mak Cik Timah mengucapkan terima kasih kepada Alim kerana sudi memberikan buah manggis dan buah rambutan. Alim berasa bahawa berkongsi itu amalan yang baik. Oleh itu, dia berkongsi dengan keluarga Sulaiman. Alim suka berkawan dengan Sulaiman dan Mak Cik Timah juga memuji bahawa Alim adalah seorang anak yang baik. Selepas itu, Alim masuk ke rumah sambil melambai ke arah Mak Cik Timah. Kemudian, Mak Cik Timah memandang ke arah Alim yang berjalan masuk ke rumah dan mendoakan kesihatan serta kesejahteraan Alim sekeluarga.


RUJUKAN :
Normaliza Abd Rahim (2019). Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi: Teori dan Aplikasi. Universiti Malaysia Terengganu, Terengganu.

BBM3410Satu2020: Keluargaku, Cintaku, Syurgaku

 Assalamualaikum semua.

Post ini saya akan menceritakan serba sedikit tentang keluarga saya yang tercinta. Keluarga saya dilengkapi dengan tujuh insan yang paling bermakna dalam hidup saya. Tanpa mereka, siapalah saya. Saya mempunyai ibu dan ayah yang sangat sangat bermakna dalam hidup saya sampai bila-bila. Pengorbanan mereka pasti akan saya kenang sampai ke akhir hayat. Pengorbanan mereka telah menentukan tahap saya sekarang. Saya sangat bersyukur kerana dikurniakan sebuah keluarga yang penuh kasih sayang.



Saya mempunyai 6 orang adik-beradik. Kini, adik-adik saya masih dalam alam persekolahan kecuali adik bongsu saya yang masih berusia 2 tahun. Ayah saya kini masih lagi bekerja dan kami sekeluarga menetap di Selangor. Sebelum saya terlupa, kami sekeluarga merupakan warga dari negeri di bawah bayu, Sabah tanah airku. Namun, kami mula menetap di Selangor  semenjak tahun 2009 kerana keperluan ayah saya untuk bekerja di tanah semenanjung ini.  



Ini juga merupakan keluarga saya di sebelah ibu. Sejak kecil, saya dan adik tinggal bersama nenek dan datuk. Kerana ibu dan ayah pada waktu itu perlu merantau ke tanah semenanjung. Disebabkan itu, kami sekeluarga sangat rapat. Ibu saya mempunyai 2 orang adik-beradik dan kedua-duanya perempuan. Manakala ayah saya pula mempunyai 10 orang adik beradik di mana dilengkapi dengan 2 orang perempuan dan 8 orang lelaki. Sungguh besar keluarga yang saya ada dan saya sayangkan mereka sepenuh hati saya. Setiap tahun kami sekeluarga akan balik ke kampung kami di Tawau dan Semporna untuk meraikan raya bersama-sama keluarga.


Untuk ibu dan ayah,
Saya berjanji akan menunaikan impian dan hasrat kalian berdua. Saya berjanji akan membalas segala pengorbanan yang telah kalian lakukan untuk membahagiakan kami adik-beradik. Saya berjanji akan menjadi seorang kakak sulung yang terbaik dan anak yang terbaik dalam keluarga. Saya berdoa agar keluarga saya yang saya sayangi ini akan kekal sentiasa bersama saya hingga ke akhir hayat. Saya berdoa agar ibu dan ayah sentiasa menjadi insan yang terbaik dalam kehidupan saya mahupun dalam kehidupan orang lain yang mengenali kalian. 




BBM3410Satu2020: TIPS BELAJAR DENGAN MUDAH



Gambar tersebut menjelaskan manfaat dan kelebihan media sosial dalam kelas bahasa. Pertama, penggunaan media sosial dalam kelas bahasa dapat memperluas bahasa lebih banyak ilmu pengetahuan tentang bahasa dan mendapatkan maklumat. Seterusnya, penggunaan media sosial dalam kelas bahasa juga dapat merangsang motivasi pelajar yang membawa kepada peningkatan dalam penggunaan dan kemahiran dan pembelajaran bahasa. Selain itu, media sosial juga boleh dijadikan sebagai medium ataupun sumber informasi yang sahih untuk mencari maklumat dan berkongsi sumber dalam masa yang singkat. Selain daripada itu, penggunaan media sosial juga dapat meningkatkan pengetahuan kosa kata. Perkara ini dapat membantu kepada pelajar yang lebih menjurus dalam bidang penulisan supaya penggunaan kosa katanya dapat diperluas. Akhir sekali, penggunaan media sosial dalam kelas bahasa dapat membantu pelajar untuk meneroka penggunaan pelbagai bahasa yang bervariasi. 



NURUL ADILA RIZA BINTI SAHARUDIN
197319

Tuesday, February 18, 2020

BBM3410Satu2020: Asas Grafik

Lenggang Kangkung Production

Kumpulan kami dikehendaki untuk menyiapkan tugasan pertama pada waktu kuliah. Sebelum itu, setiap kumpuan perlu menyediakan bahan-bahan seperti:

  1. Mounting board saiz A4 (6 keping)
  2. Gunting
  3. Cutter
  4. Gam (UHU stick)
  5. Majalah terpakai (kertas glossy)
  6. Ribbon (suku inci setengah meter)

Tugasan ini memerlukan setiap kumpulan untuk mencari lima gambar berdasarkan elemen-elemen asas grafik yang telah diterangkan oleh Prof pada waktu kuliah. Lima elemen asas grafik adalah warna, keseimbangan, teks, kesesuaian dan mudah. Gambar-gambar tersebut perlu ditunjukkan terlebih dahulu kepada Prof supaya gambarnya sesuai dengan elemen asas grafik. Setiap kumpulan perlu mencari segala bahan daripada majalah-majalah yang dibawa. Para pelajar tidak dibenarkan untuk membuat sebarang contengan dan tulisan pada mounting board tersebut. Setiap kumpulan dikehendaki untuk mencari abjad dan nombor menggunakan majalah tersebut. Lima gambar yang sudah dipilih perlu ditampal pada mounting board dengan kemas dan bersih. Pada setiap halaman belakang mounting board tersebut perlu diletakkan label bagi setiap elemen asas grafik. Selesai tugasan 1!!!

Tugasan 1 Lenggang Kangkung Production


BBM3410Satu2020: Blanket Test

Kuliah dimulakan dengan sesi ujian iaitu blanket test. Semua pelajar dikehendaki duduk dalam kumpulan masing-masing dan perlu menjawab soalan yang dialukan oleh Prof. Soalan-soalan tersebut adalah berdasarkan bab Asas Grafik dalam buku Multimedia dalam Bahasa. Nama kumpulan kami ialah Lenggang Kangkung Production dan kami berjaya menjawab 4 soalan yang dikemukakan. Soalan-soalan tersebut adalah seperti yang berikut:

1. Apakah maksud keseimbangan dalam asas grafik?
Keseimbangan merupakan ruang dalam foto atau video. Ruang yang dimaksudkan ini adalah seperti ruang kiri, kanan serta atas dan bawah.

2. Pada muka surat berapakah yang membincangkan topik Rules of Thirds?
Rules of Third terletak pada muka surat 80.

3. Berikan satu contoh aspek asas grafik yang terdapat pada gambar yang dipaparkan di skrin?
Aspek asas grafik yang terdapat pada gambar tersebut ialah warna. Warna pada langit adalah lebih cerah dan warna air laut adalah biru gelap. Bahagian kiri pada gambar tersebut juga sedikit gelap berbanding warna pada bahagian kanan gambar. Warna yang digunakan dalam gambar tersebut adalah sesuai dan menarik.

4. Berikan satu contoh aspek asas grafik yang terdapat pada gambar yang dipaparkan di skrin?
Aspek asas grafik yang terdapat pada gambar tersebut ialah keseimbangan yang menunjukkan suasana di jeti. Pada bahagian kanan gambar agak berat kerana terdapat sebuah bot dan batu-batu manakala di bahagian kiri pulau pula diseimbangkan dengan gambaran pulau yang lebih luas.




Sunday, February 16, 2020

BBM3410Satu2020: Cerita Sosial 1

Sinopsis Cerita Sosial 1


Alim pulang ke kampung bersama keluarganya. Mereka pulang ke kampung nenek dan datuk sebelah ibunya di Kajang. Alim begitu gembira dan tidak sabar untuk pulang ke kampung kerana ingin bermain dengan ayam dan itik. Perjalanan mereka ke kampung mengambil masa 30 minit. Setelah Alim dan keluarganya tiba di kampung, Alim terus keluar dan mencari-cari ayam dan itik. Namun, Alim tidak jumpa akan ayam dan itik tersebut. Dia berasa sedih, marah lalu menangis. Alim berasa hairan mengapa ayam dan itik tiada di kampung. Ibu, bapa, Abang Imran dan Kak Madinah sibuk mengeluarkan beg dari dalam kereta. Tiba-tiba, nenek pergi ke Alim dan menunjuk ke arah sekumpulan ayam dan itik di dalam reban yang baru dibuat datuk. Pada mulanya, Alim sangka semua ayam dan itik sudah mati. Setelah melihat sekumpulan ayam dan itik tersebut, Alim berhenti menangis. Dia tersenyum gembira dan tidak menghiraukan nenek dan datuk yang berdiri di sebelah Alim. Selepas itu, Alim masuk ke rumah nenek dan dia berasa keliru melihat keadaan rumah nenek dan datuk yang berlainan. Alim berasa sedih dan terus menangis kerana dia sangka rumah dan datuk sudah tiada. Kemudian, nenek memujuk Alim dan menceritakannya keadaan rumah sambil berjalan keliling rumah. Ibu, bapa, nenek dan datuk berasa sedih melihat tingkah laku Alim yang menangis tanpa sebab. Alim menonton televisyen bersama abang Imran, kak Madinah dan Aisyah di ruang tamu. Kelihatan dari dapur mereka ketawa sambil menonton cerita kartun.  




RUJUKAN

Normaliza Abd Rahim (2019). Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi: Teori dan Aplikasi. Universiti Malaysia Terengganu, Terengganu.

Saturday, February 15, 2020

BBM3410Satu2020 : Penulisan Blog

10 cara penulisan blog yang baik :


1. Tajuk yang menarik yang boleh menarik perhatian pembaca.
2. Cerita menarik yang dapat menarik hati pembaca.
3. Masukkan ayat yang humor dan berbentuk jenaka untuk membuatkannya lebih menarik.
4. Memastikan terdapat hujah terbaik untuk membuatkannya lebih menarik.
5. Kaitkan penulisan anda dengan berita terkini.
6. Gunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas.
7. Dapat dibaca dan difahami.
8. Dapat berkomunikasi dengan pembaca.
9. Masukkan moral dan nilai estetika dalam penulisan anda.
10. Berilmu untuk penulisan pendidikan.


Antara cara penulisan blog yang baik adalah dengan menghasilkan tajuk yang menarik yang boleh menarik perhatian pembaca. Sekiranya tajuk tidak menarik, sudah pasti pembaca tidak berminat untuk membaca penulisan blog tersebut. Penulisan tajuk tersebut juga perlulah jelas dan mudah difahami supaya dapat menarik minat pembaca.

Seterusnya, menghasilkan cerita menarik yang dapat menarik hati pembaca juga merupakan cara penulisan blog yang baik. Penulisan cerita yang menarik membuatkan pembaca tidak bosan dan lebih minat untuk mengetahui lanjutan cerita tersebut. Penulisan cerita dalam sesuatu blog perlulah menarik dan menepati cita rasa pembaca.

Selain itu, cara penulisan blog yang baik juga boleh dihasilkan dengan memasukkan ayat yang humor dan berbentuk jenaka untuk membuatkannya lebih menarik. Dengan adanya penulisan berbentuk jenaka ini membuatkan cerita yang dihasilkan itu tidak mendatar dan tidak bosan. Maka, pembaca lebih tertarik untuk membaca penulisan blog seperti itu.

Memastikan terdapat hujah terbaik untuk membuat penulisan blog lebih menarik juga merupakan salah satu cara dalam menghasilkan penulisan blog yang baik. Penulisan yang dihasilkan perlulah disertakan dengan hujah yang utuh dan kukuh. Misalnya, penulis boleh mengaitkan penulisan tersebut dengan berita terkini bersama data atau bukti dalam hujah tersebut. Oleh itu, hujah tersebut menjadikannya lebih menarik.

Di samping itu, penulis perlu menggunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas. Hal ini dikatakan demikian kerana tahap kefahaman bagi setiap pembaca adalah berbeza. Penulis perlu mengambil berat tentang tahap kefahaman tersebut dengan menghasilkan penulisan blog yang menggunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas. Maka, penulisan tersebut lebih mudah dibaca dan difahami. Dalam masa yang sama, penulis juga dapat berkomunikasi dengan pembaca secara tidak langsung.

Akhir sekali, cara menghasilkan penulisan blog yang baik juga adalah dengan memasukkan moral dan nilai estetika dalam penulisan tersebut. Setiap penulisan yang dihasilkan perlulah memberi input kepada pembaca. Penulis perlu memastikan bahawa penulisan yang dihasilkan tersebut adalah berilmu untuk penulisan pendidikan. Oleh itu, pembaca bukan sahaja dapat nilai moral melalui penulisan tersebut, namun ianya juga dapat dijadikan sebagai rujukan ilmu dalam penulisan pendidikan.



Rujukan: 

Normaliza Abd Rahim (2014). Wacana Bahasa. Terengganu: Penerbit UMT.
Noraien & Normaliza (2019). Ehh!!! Media Sosial. Terengganu: Universiti Malaysia Terengganu.

BBM3410Satu2020 : Pengenalan Diri




Assalamualaikum semua.

Nama diberi Nurul Adila Riza binti Saharudin yang berasal dari negeri di bawah bayu dan lebih dikenali sebagai "dila". Kini menetap di Selangor semenjak tahun 2009. Saya melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia dalam bidang Bahasa dan Linguistik Melayu yang kini berada dalam tahun kedua.

Saya cenderung untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan. Minat saya lebih kepada bermain bola jaring, badminton dan aktiviti lasak seperti "skytrex". Namun,cita-cita  saya ingin menjadi seorang guru kerana saya minat untuk menyampaikan ilmu yang saya pelajari dan berkomunikasi dengan masyarakat. 

Saya aktif dalam akaun media sosial seperti Whatsapp, Facebook, Instagram dan Telegram. Melalui media sosial ini, saya dapat mengetahui serba sedikit perkembangan terkini dan berhubung dengan rakan-rakan yang lain.

Saya berpegang kepada satu prinsip "Jangan mengalah dan terus berusaha untuk capai apa yang diimpikan". Saya percaya sekiranya saya berusaha dan tidak mengalah, insyaAllah saya akan berjaya mencapai impian saya. Tidak mudah mengalah dengan apa cabaran dan masalah yang dihadapi, tidak kira masalah kehidupan, masalah keluarga, masalah rakan-rakan dan sebagainya, jangan jadikan ia sebagai satu tembok penghalang untuk diri mencapai kejayaan. 

Tujuan saya membuat blog adalah sebagai satu platform untuk saya mengasah bakat saya dalam penulisan dan ingin menyampaikan serba sedikit ilmu pengetahuan kepada pembaca. Semoga apa yang ingin saya sampaikan dapat membantu saudara dan saudari di luar sana. Semoga berjumpa lagi!




BBN3402SATU2020: PENTERJEMAHAN BERBANTUKAN KOMPUTER

Assalamualaikum wbt. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat Prof Normaliza Abd Rahim yang telah banyak memberi il...